Monday, March 7, 2011

ukhwah berpaksikan iman



Assalamualaikum.

Salam ukhwah dan mahabbah kepada semua sahabat yang tercinta. Di sini saya tertarik untuk mencoretkan satu perkongsian bertajuk UKHWAH, di mana ia sangat berkaitan dengan kehidupan seharian kita. Semua orang bersahabat. Ada yang sudah bertahun berkawan tapi masih tidak merasai kenikmatan ukhwah. Ada pula yang baru sahaja berkenalan tapi terasa sudah lama berkawan. Dua situasi yang sangat berbeza. Pernahkah anda membaca novel SINERGI karya Hilal Asyraf? Intipati utama yang ingin dibawa dalam buku ini adalah ‘UKHWAH ATAS DASAR KEIMANAN’. Namun bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ukhwah berpaksikan IMAN itu? Mari kita selami bersama..


Kedudukan Ukhuwah dalam Islam

Ukhuwah Islamiah (persaudaraan Islam) adalah nikmat Allah, anugerah suci, dan pancaran cahaya rabbani yang Allah persembahkan untuk hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan pilihanNya. Allahlah yang menciptakan ikatan dan perasaan itu. Allah berfirman,

“…Lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara…” (QS: Ali Imran: 103).


Ukhuwah adalah ANUGERAH daripada Allah, Yang Maha Berkuasa menyatukan hati-hati hambaNya. Ia berfirman,

“…Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang ada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka… (QS: Al-Anfal: 63)”


Rasulullah SAW juga bersabda,

Tidak beriman seseorang dari kamu, sehinggalah dia mencintai saudaranya, seperti mana dia mengasihi dirinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)



Contoh penerapan ukhwah Islamiah.

Saya suka untuk membawakan contoh sirah nabawiyah yang terselit seribu pengajaran buat kita bermuhasabah diri. Antara nilai ukhwah yang diterapkan oleh Rasulullah kepada sahabat-sahabat baginda dapat kita lihat sewaktu peristiwa Hijrah ke Madinah. Rasulullah mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar, antara Aus dan Khazraj. Saat itu Rasulullah menggenggamkan tangan dua orang, seorang dari Muhajirin dan seorang lagi dari Ansar. Baginda berkata pada mereka, “Bersaudaralah kamu kerana Allah.”


Maka Rasulullah mempersaudarakan antara Sa’ad bin Rabi’ dan Abdurrahman bin Auf. Saat itu, Sa’ad langsung menawarkan setengah hartanya kepada Abdurrahman, memberikan salah satu dari dua rumahnya. Bahkan dia turut menceraikan salah seorang isterinya supaya boleh dinikahi oleh Abdurrahman.


Kemuliaan keimanan kaum Ansar ini disambut kaum Muhajirin dengan keimanan pula, sehingga Abdurrahman bin Auf berkata, “Biarkanlah harta, rumah, dan isterimu bersamamu. Tunjukkanlah aku pasar.” Maka Abdurrahman meminjam wang dari Sa’ad, sehingga Allah membukakan pintu-pintu rezeki baginya, sehingga Abdurrahman bin Auf menjadi salah satu sahabat Nabi yang sangat kaya.



Realiti ukhwah pada hari ini.

Saya tidak nafikan masih lagi wujud ukhwah kerana Allah pada zaman moden dan kontemporari ini, tetapi berapa ramai yang boleh membuktikannya? Adakah ukhwah hanya sekadar meniti di bibir, wujud apabila kita dalam keadaan senang semata-mata? Cuba kita perhatikan sebentar sahabat di sekeliling kita. Masih adakah sahabat yang boleh membimbing kita menuju keredhaan Allah? Masih adakah sahabat yang setia bersama tanpa mengira susah dan senang?


Sering kali kita terdengar kisah seorang sahabat yang sanggup memutuskan ikatan persahabatan yang terbina lantaran cemburu dan dengki antara satu sama lain. Tidak kurang pula yang berkawan semata-mata pangkat dan harta. Persahabatan yang terbina bukan atas dasar kasih sayang dan iman tidak akan berkekalan. Malah hati akan rasa sakit dikhianati sahabat sendiri.

Ayuh kawan, kita perkukuhkan nilai persahabatan kita. Kita bina ukhwah atas dasar IMAN. Ketaqwaan kita kepada Allah akan memelihara kita daripada berpecah belah.


Pada hari itu sahabat-sahabat karib; setengah akan menjadi musuh kepada setengah yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh). (Az-Zukhruf: 67)


Sayangilah sahabat di sekililing kita dan hargailah mereka.


“Apabila semua dihubungkan dengan keIMANan, maka ia akan menghasilkan sesuatu yang LUAR BIASA”

No comments:

Post a Comment