~ "Siapa Sebenarnya Ustaz Azizan Abdul Razak...???" ~
KEDIAMAN
Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun
kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya.
Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu,
tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua
cucu. Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta.
Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.
Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan
laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang
melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.
Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan
raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun
kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.
FOKUSKAN LENSA
Lebih-lebih lagi pelancong atau orang luar, jika tidak diberitahu,
mereka lalu begitu sahaja tanpa merakamkan atau memfokuskan lensa ke
arah rumah itu.
Namun, di situlah diamnya seorang pemimpin
negeri. Di satu sudut rumah, seorang lelaki tanpa kaca mata, segak
membetulkan songkok sejurus mengenakan kot cerah coklat dan mengikat
tali leher merahnya.
Kemudian dia duduk seketika, sambil
menghirup kopi, minuman kegemarannya. Pagi itu, dia tidak sempat
bersarapan, seperti kelaziman hari-hari lain juga.
Jadualnya
padat dan waktu yang singkat, adakala tidak upaya menjamah hidangan
pagi. Itulah rutin yang dilaluinya, sejak hampir tiga tahun memikul
amanah rakyat dan agama.
Sekali hirup, beliau merenung jauh.
Kini tidak sama seperti dulu. Malah dia terasa kehilangan sesuatu iaitu
tidak dapat melakukan perkara yang disukainya sejak dulu. Rupanya dia
merindui untuk ke pasar secara sendirian membeli ikan dan bersembang
panjang dengan masyarakat di warung kopi atau di kedai makan!
MENUNGGU ARAHAN
Lamunannya terhenti tatkala, seorang pengawal peribadi muda memaklumkan semuanya telah siap siaga menunggu arahan selanjutnya.
Di luar sana, kereta peronda bersama polis pengiring bermotosikal,
sudah terpacak setia. Di tepi laman rumah dua buah kereta rasmi
kerajaan, dua pemandu beserta empat pegawai lelaki kemas berpakaian
kemeja lengan panjang berdiri di sisi pintu, menghormati dia, Dato' Seri
Ustaz Azizan Abdul Razak selaku Menteri Besar Kedah mendahului
pergerakan semua.
Tepat jam 8.00 pagi itu, pasukan pengiringnya
bersama pemimpin negeri itu bergerak ke satu lokasi,jauh di pendalaman
di mana majlis besar dihadiri ribuan rakyat yang sudah menunggu tanpa
jemu.
Di sana, rakyat sudah tidak sabar menantikan amanatnya.
Gurau dan seloroh Menteri Besar mereka itu, seringkali mencuit hati.
Tanpa laras bahasa yang sukar, menggunakan ayat-ayat bersahaja, beliau
bijak dalam mencernakan dan mencanaikan ucapannya agar mudah difahami
semua.
Baik isu ekonomi, sosial, agama, politik, pendidikan
mahupun undang-undang, Ustaz Azizan tahu apa yang diperkatakan. Tidak
sekadar membaca teks, beliau benar-benar faham apa yang diluahkan.
Sesekali beliau menggunakan metafora, analogi dan contoh-contoh
sekeliling, untuk mencantas atau menjelas letak duduknya sesuatu
perkara.
"Saya ini umpama ketam batu. Sekali saya sepit ekor
beruk, pasti menggelupur. Jangan cabar saya kembali ke perangai lama,
nanti saya bongkar habis semua ...!"
Seusai berucap laungan
takbir bergema dengan iringan tepukan gemuruh, menghangat suasana malam
itu sewaktu berceramah di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut dengan
disaksikan puluhan wartawan dan pengamal media dalam dan luar negara.
ACAH-ACAH LAWAN
Kehadiran 10,000 hadirin semata-mata mahu mendengar petikan dan amaran
Ustaz Azizan yang tak mungkin dilupakan berhubung isu Adun Lompat
beberapa bulan lalu, akibat diacah-acah lawan bagi mencalarkan imej
bersih dan amanah yang galas beliau selama ini.
Itu cerita dan
kehebatan Ustaz Azizan bersilat dalam gelanggang ceramah. Lain pula
kisahnya ketika dia menggulung hujah dan menepis segala jurus-jurus
lawan yang dihalakan kepadanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri
Kedah.
"Soalan itu seolah-olah menghina bidang kuasa Sultan.
Tarik balik soalan itu!" kata seorang Adun Pembangkang daripada Barisan
Nasional dengan penuh emosi berang.
Tanpa membuang masa, Azizan
bangun mencelah: "Perkataan 'seolah-olah' bukanlah ayat yang jelas atau
mempunyai bukti. Jika di mahkamah, perkataan ini tidak terpakai sama
sekali".
Hujahnya tepat, menyiku lawan. Beliau sudah lama dan
sebati dengan Dewan. Undang-undang dan peraturan mesyuarat, umpama
'zikir' di bibirnya. Dia yang paling lama sebagai Adun Pembangkang dan
kini beralih kuasa di tangan, beliau memegang tampuk pemerintahan.
Bukan sembarangan Ustaz Azizan ini. Berwatak sederhana dan bersahaja.
Anak kelahiran kampung Sungai Limau, yang diasah sopan, akhlak dan
pendirian. Bijak berilmu sehingga melanjutkan pelajaran ke University Of
Kent, Canterbury, United Kingdom, pengkhususan dalam bidang
perlembagaan. Tak mudah lawan atau musuh menyerangnya bertubi-tubi
kerana tajinya sangat tajam.
Tidak cukup dengan itu, pengikut
dan anak muridnya terlalu ramai. Masakan tidak, beliau dulu adalah
seorang tenaga pengajar di Maktab Mahmud, Ketua Jabatan Syariah di
Universiti Kebangsaan Malaysia, dan pensyarah Universiti Islam
Antarabangsa (UIA).
Tidaklah berhasrat menceritakan
fakta-fakta, statistik atau angka-angka kejayaan pimpinan Ustaz Azizan
ini berkaitan bab peningkatan hasil balak, pengurangan kadar jenayah,
percambahan projek pertanian atau apa sahaja, kerana ia sudah terang
lagi bersuluh. Risalah, berita, dokumentasi, rakaman dan cd-vcd sudah
bercambah dan sentiasa memenuhi ruang galeri.
BANGUNKAN INSANIAH
Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan
Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah
dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata
pelajaran yang ditawarkan.
Sebelum ini, selama 12 tahun di
bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala
pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru
diperkenalkan.
Sebenarnya beliau bukan seorang pemimpin yang
suka melakonkan watak atau berlakon di hadapan lensa malah cukup
keberatan untuk dikutip kisah perjuangan sepanjang hayatnya. Dia pernah
menolak diwawancara Harakah secara eksklusif Harakah, walaupun beliau
amat sayang akan organ parti ini dan pernah memegang jawatan Pengarah
Urusan Harakah.
Katanya kepada saya, ketika melaporkan diri
sebagai Ketua Wartawan Harakah Negeri Kedah awal tahun ini, beliau lebih
suka bersikap merendah diri dan kurang menggemari publisiti berbentuk
sensasi.
"Takpalah...Azamin. Biar saya 'low profile' dan buat
kerja-kerja macam biasa. Azamin buatlah kerja dan duduklah elok-elok di
sini ya," katanya bernada rendah menyinggah hati nurani.
Dan
sejak itu saya memerhati dari jauh dan mengekorinya tanpa disedari.
Tidak pernah saya mendekatinya dengan lebih rapat lagi bimbang-bimbang
disalah erti. Sehinggalah selepas tujuh purnama saya di sini, beliau
buat pertama kalinya menjemput saya ke rumah. Berbual santai,
sembang-sembang hal keluarga dan menitipkan luahan hatinya tentang
pergolakan politik semasa.
Dulu bermacam-macam nista dipalit
kepada Ustaz Azizan. Tidak mesra, tidak pandai ceramah, ego dan bengis
kata mereka yang tidak puas hati dengan Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga
Adun Sungai Limau ini.
Namun setelah dua kali berbual mesra dan
mengikuti segala aktiviti serta program beliau selama tujuh bulan ini,
nyata tusukan dan cacian itu, tidak benar dan hanya fitnah semata.
AMAT TEGAS
Ini tidaklah bermakna, dikesampingkan warna sebenar, perwatakan beliau.
Ustaz Azizan sememangnya seorang yang amat tegas terutama melibatkan
tugasan dalam parti mahupun kerajaan negeri. Bekas pensyarah kehormat di
Universiti Mindanao ini juga tidak suka kerja "cincai-bomcai".
Baginya semua 'perfect' dan 'zero-defect'. Tidak kurang kakitangan atau
petugas parti yang menerima terjahan teguran dan kritikan daripadanya.
Katanya setiap tindakan memberi kesan kepada agama dan perjuangan parti
yang dibawa. Yang akan menerima tempias ialah, Islam dan PAS.
Betapa seriusnya Ustaz Azizan mentadbir parti sehingga adakalanya
bermesyuarat sampai malam dan sesekali beliau mengejutkan para
pegawainya yang sedang lena diulit mimpi, untuk berkumpul di rumahnya
lewat tengah malam bagi membincangkan isu amat genting.
Pernah
sekali, walaupun pintu tertutup rapat, saya mendengar beliau berang
memarahi seseorang kerana kelemahan menyelesaikan tugas yang diberi.
Gamam juga saya yang kemudian beransur beredar perlahan-lahan daripada
pejabat Menteri Besar itu sebelum menambah lagi murka.
Akan
tetapi ironinya, puncak kemarahannya hanya di bucu empat penjuru
biliknya sahaja. Selepas melintasi ruang legar atau di luar bilik itu,
beliau akan bersikap sediakala malah orang yang dimarahinya, boleh
berbual dan makan semeja dengannya.
CUKUP BERANG
"Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup
berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia
begitu teliti dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan
kerajaan negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan
peruntukan kewangan.
Selain itu beliau turut mengarahkan semua
Exco Kerajaan negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung
Tunku Mahmud, bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.
Ya,
memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang
kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum
beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan
antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.
Apatah
lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan, bapa 14
orang anak ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan
pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun
diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu
sumber rapat dengan MB Kedah itu.
Ketika mula-mula mengangkat
sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu, rumahnya tidak
mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.
Namun atas
nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan, Ustaz
Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah dan
pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan peruntukan
kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.
Sejak dua tahun lebih menjadi MB, beliau tidak pernah ke luar negara
walaupun pernah dijemput oleh gabenor jiran senegeri iaitu Thailand.
Menjelang Ramadan ini, khabarnya kali pertama beliau mahu akan ke negara
Timur Tengah, setelah lama mendiamkan diri melaksanakan
tanggungjawabnya di sini.
Beliau sebenarnya tidak mahu,
dianggap memoncah dalam berbelanja dan dilihat membuang masa serta
bersuka ria ke sini sana lebih-lebih lagi ke luar negara. Hatta dalam
berbelanja untuk kegunaan sendiri pun, Ustaz Azizan cukup sederhana dan
bersikap berpada-pada.
HARGA KEMEJA MB
Bagi membeli
pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat, Kangkong dan
sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja yang
diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian
kegemarannya sejak dulu lagi.
Dan lebih mengujakan, ada antara
kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi
ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!
Pernah pentadbiran kerajaan negeri berhasrat melupuskan atau menjual
kenderaan rasmi Menteri Besar dua buah kereta Mercedes lama plat nombor
KY12 dan KN 2000, akibat terlalu teruk kerosakannya namun dihalang Ustaz
Azizan yang meminta dibaiki dan akhirnya dipakai semula oleh beliau
sendiri.
Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala
Lumpur atau ke mana sahaja di negara ini,beliau tidak pernah menaiki
kapal terbang sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan
'tahan' berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.
Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di
sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur
sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan
pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.
Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana
bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput
Tuanku Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau
tidak upaya menolaknya.
HUBUNGAN DENGAN ISTANA
Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya
terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja.
Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco
kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan
perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.
Bukan itu sahaja,
MB Kedah ini akan mengiringi Sultan Kedah di lapangan terbang sama ada
ketika baginda bertolak mahupun pulang daripada luar negara. Biarpun
sekadar 5 ke 10 minit cuma bersua dan mengiringi baginda, tanda hormat
yang ditunjukkan kepada Sultan amat tinggi.
Lazimnya, para
pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di
Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang
ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu
dan pegawal peribadi
Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi
mengelakkan pembaziran, beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi
yang dirahsiakan di ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas.
Betapa cermatnya dan bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel
yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!
Menarik
cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya
makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam
Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau
seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya!
Jika di Kedah pula, beliau suka hidangan gulai masam ikan dan
ulam-ulaman disajikan. Dan tatkala melawat kawasan kampung di sekitar
Kedah bagi tujuan rasmi ataupun tidak formal, masyarakat rata-ratanya
sudah tahu makanan kegemaran beliau dan menghidangkannya setiap kali
beliau menziarahi penduduk di situ.
Manakala kalau di rumah,
sebelum waktu tidur jam 10 malam, Ustaz Azizan suka berbaring di sofa
panjang sambil membaca buku-buku atau kitab-kitab tafsir. Itu hobinya
sejak dulu lagi. Kadang-kadang asyik membaca, beliau boleh terlena di
situ. Minatnya pada buku sukar disangkal. Presiden PAS Dato' Seri Hadi
Awang juga, ada masa meminta Azizan menyemak buku tulisannya sebelum
diterbitkan.
SAMPAI KULIAH
Jika berkesempatan, beliau
meneruskan kesinambungan dakwah dengan menyampaikan kuliah yang
selalunya diadakan di Kompleks PAS ataupun Kediaman Rasmi MB di Seri
Mentaloon setiap Jumaat. Bukan sedikit pengikut atau yang minta
mendengar kuliah yang disampaikan, dan ada masa bergilir dengan Timbalan
Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din.
Ya, beliau tidak mahu
menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu tetapi menjadikan
bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi apa jua program
pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa dikenakan sebarang
bayaran.
Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan
sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan
perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh.
Beliau jarang menghampakan orang, bahkan tetamu yang menjengah ke rumah
ataupun ke pejabatnya sama ada melalui temujanji ataupun yang datang
secara spontan.
Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10
artis serta 40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran
di Kedah diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan
tengah hari.
Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan
MB mempunyai acara di lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar
menunggu dan melayan tetamu, membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti,
pemimpin parti Islam ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.
Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap
masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan
Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat
kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di
Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.
Beliau
tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba dan
sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan
harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma
kilat kepada mangsa.
Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di
Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300 penduduk mengalami kerosakan
kediaman, yang mana sehari selepas kejadian, Ustaz Azizan tiba awal
dengan pasukan rombongannya menyampaikan sumbangan derma.
MATI RENTUNG
Ada satu kisah ketika, alam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur kerana
urusan mesyuarat, beliau mendapat khabar sebuah keluarga Cina di Jitra
yang kehilangan dua orang anaknya akibat mati rentung. Kisah menyayat
hati itu, dilaporkan semua media. Beliau kemudian lantas ke tempat
kejadian, tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu.
Ustaz Azizan
tiba menyampaikan sendiri bantuan dan duduk bersama kedua ibu bapa
kanak-kanak tersebut sambil cuba mententeramkan kesedihan mereka tatkala
jenazah keduanya masih berada dalam keranda dan belum dikebumikan.
Selain itu, jika tetamu yang hadir atau membuat kunjung hormat, Ustaz
Azizan akan melayan dan meraikan mereka sehabis mungkin sehinggakan
beliau meneliti terlebih dahulu menu makanan yang bakal dihidangkan
supaya para tetamunya mendapat sambutan yang terbaik.
Jika
tiada acara lain, beliau lebih suka makan di dalam pejabatnya bersama
staf mahupun para pegawai, di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan
dengan warga kerja di Wisma Darul Aman itu.
Bukan sedikit yang
sudah bertandang ke pejabatnya, daripada beberapa Menteri Pusat, para
kedutaan, korporat atau konglomerat, guru, pelajar, bomba dan aneka
ragam sehinggalah makcik pakcik dari kampung. Semua teruja dan mahu
bertemu pemimpin disegani ini.
Biarpun beberapa media
adakalanya cuba menconteng arang, tetapi secara purata dan majoriti,
ramai yang tidak termakan racun hasutan. Semua telah menjadi saksi
kepala. Tinjaun rambang yang dibuat, semuanya amat menyukai corak
pentadbiran Azizan dan jika kekal begini, maka berputih matalah, mereka
yang berhasrat atau mahu merujuk kembali kuasa yang sudah lama berpisah
dari diri.
Walaupun media melaporkan songsang, hakikatnya
pengamal media arus perdana dan alternatif di Kedah, menganggap Ustaz
Azizan seorang yang mesra media. Beliau amat kenal seorang demi seorang
wartawan yang membuat liputan. Ingatannya tajam. Bukan itu, sahaja,
Ustaz Azizan akan menjawab semua soalan yang ditujukan dengan pancungan
hujahnya yang bernas.
PERANGKAP WARTAWAN
Tetapi awas,
bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng' fakta, akan
menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap
wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu
berhati-hati mengelak serkap jarang.
"Sekarang ini Kedah tak
ada air, macamana Dato' Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang
dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.
"Kamu ni mandi tak pagi
tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan
itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.
"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti
mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah
kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya
hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.
Sebenarnya setiap kali, sidang media di pejabat Menteri Besar, seminggu
sekali adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pengamal media. Bukan
setakat mendapatkan berita, tetapi lebih kepada kemesraan hubungan serta
bergurau senda dengan Ustaz Azizan, yang menganggap para wartawan
sebagai sebahagian daripada keluarganya.
JADI PENTERJEMAH
Jika sidang media dibuat dengan para duta atau diplomat asing, Ustaz
Azizan lazimnya bertindak sebagai penterjemah dalam bahasa Inggeris dan
membantu media menjelaskan jawapan.
Selain asakan fitnah lawan,
beliau juga sering dilambakkan dengan segunung harapan oleh penyokong
parti dan rakyat negeri supaya melakukan perubahan besar-besaran agar
nampak hebat dan boleh dipandang semua, tetapi tidak pernah melatah.
Beliau bukan seorang yang gopoh dalam mengatur langkah.
Kata
seorang ustaz menjawat exco pemuda negeri, Ustaz Azizan bukan seorang
yang 'ghairah' berceramah atau suka menunjuk aksi di sana sini, baik
sebelum menjadi MB ataupun kini. Beliau sering mengutamakan jentera
parti, memantapkan sistem dan pentadbiran kerajaan negeri.
RAMADAN
Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas
MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan
sekitar Ramadan tahun lalu.
Waktu itu, di masjid-masjid telah
teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku
MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat
Kedah.
Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat
MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah
palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga
dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya
menjelaskan apa yang berlaku.
Anda tahu keputusannya? Jika
dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak
tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!
Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan
risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari
jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan
yang dihebahkan palsu itu.
Lantas beliau mengarahkan para
pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang
hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!
TERTIKAM MATA SENDIRI
Akhirnya permainan muslihat lawan, tertikam mata sendiri. Perbuatan
keji yang diharapkan dapat menusuk dan mencincang imej Azizan atau nama
busuk parti bertukar pujian melangit atas sifat pemurah pemimpin itu.
Rupanya, kilasan dan serangan lawan melukakannya pun belum tentu!
Begitulah kehebatan seorang Azizan yang tiada duanya, yang mampu
dinukilkan semoga bisa merungkai kekeliruan dan tuduhan tak bermata
terhadapnya selama ini.
Oleh AZAMIN AMIN